Tuesday, September 15, 2009

Kerajaan perkenal 4 fasa pencegahan H1N1...


TONG LAI memakaikan topeng mulut dan hidung kepada seorang penumpang bas ekspres di Hentian Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan empat fasa pencegahan wabak selesema babi (H1N1) yang perlu diambil kira oleh semua pihak semasa musim perayaan termasuk mengarahkan syarikat pengangkutan mengasingkan penumpang yang memiliki gejala penyakit serupa influenza (ILI) ke tempat duduk agak jauh daripada penumpang lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah tersebut diperkenalkan bagi mengelak penularan H1N1 menjelang musim perayaan kerana orang ramai akan berkumpul beramai-ramai sekali gus meningkatkan risiko penularan pandemik tersebut.

Menurut beliau, dalam fasa pertama iaitu sebelum balik kampung, orang ramai dikehendaki memilih kenderaan untuk pulang sama ada kenderaan awam atau kenderaan sendiri manakala fasa kedua semasa dalam perjalanan membabitkan pengangkutan awam.

“Bagi golongan berisiko tinggi dan memiliki gejala ILI, mereka dinasihatkan memilih kenderaan sendiri dan sekiranya menggunakan kenderaan awam, mereka perlu memakai topeng mulut bagi mengelak jangkitan kepada orang lain.

“Syarikat pengangkutan mesti menyediakan topeng mulut dan hidung kepada penumpang yang mempunyai gejala ILI malah orang awam juga digalakkan sentiasa membawa topeng mulut dan hidung serta pencuci tangan,” katanya kepada pemberita selepas kempen Hari Raya Tanpa H1N1 di Hentian Bas Jalan Duta di sini semalam.

0 comments:

Post a Comment